Tuesday, July 27, 2010

Kesempitan Yang Akhirnya Melemaskan

Kesempitan Yang Akhirnya Melemaskan






Sudah terlalu lama blog ini tidak diupdate. Mohon maaf kepada mereka yang sering bertanya dan mengambil berat tentang blog yang tidak seberapa ini. Sekalipun sibuk dengan tugasan, namun itu bukanlah alasan untuk tidak mengikuti isu semasa agama dan negara yang tidak pernah putus bersilih ganti. Dan yang terbaru mengenai ‘subsidi ekonomi’ atau bahasa mudahnya harga barang naik!

Saya bukanlah orang politik yang mahu berkempen, bahkan bukan pula penganalisis ekonomi dunia. Saya juga tidak menerima apa-apa elaun dari tulisan ini. Saya adalah rakyat  Malaysia yang tidak memiliki rumah banglo mewah. Apatah lagi mewarisi saham syarikat keluarga. Saya hanyalah rakyat marhaen. Suara saya mewakili mereka yang merasa akibat kenaikan harga tersebut.

 

BUMI BERTUAH

Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bumi anbiya’ Jordan ini, terdetik perasaan alangkah bertuahnya saya lahir di bumi Malaysia. Sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang majmuk dan kaya dengan hasil bumi yang pelbagai. Benarlah, “hujan batu di negara sendiri”. Masakan tidak, katakan sahaja apa yang anda mahu makan di Malaysia, semuanya ada. Makanan yang mewakili pelbagai negara seperti Perancis, Itali, India@mamak, Jepun, Cina, Arab, anda memang boleh memperolehinya di Malaysia. Tetapi berbeza dengan keadaannya di tanah arab ini. Anda tidak mempunyai pilihan yang banyak. Anda terpaksa belajar membiasakan diri dengan makanan rutin mereka yang berasaskan gandum iaitu roti.

Itu baru dari satu sudut, belum lagi dilihat dengan kekayaan hutan dan tumbuhan yang kita perolehi di Malaysia jika mahu dibandingkan dengan padang pasir dan tanah gersang disini. Ketika rakyat Malaysia mengeluh kerana cuaca panas, kita masih lagi dikurniakan oleh Allah yang menurunkan sang hujan. Tetapi di tanah arab yang panas terik ini, hujan merupakan rahmat Allah yang sangat besar nilainya. Rakyatnya akan keluar beramai-ramai untuk merasai nikmat hujan yang hanya kira-kira 20 minit itu. Itu pun hujan turun ketika penukaran musim empat bulan sekali. Begitulah uniknya tanahair kita.

 

YANG MISKIN SEMAKIN MISKIN

Tetapi kenaikan harga yang terpaksa kita hadapi pada hari ini, seolah-olah negara kita telah kehilangan kekayaan sumber. Kata pemimpin negara kita, “rakyat perlu berjimat cermat”. Ya, satu saranan yang baik dari kerajaan. Kerana Islam sendiri menegah umatnya daripada melakukan pembaziran. Jadi saya memahami hasrat murni kerajaan itu. Tetapi tidakkah kita semua tahu, di sebalik kekayaan hasil sumber negara yang kita ada pada hari ini, masih ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan pertolongan? Jadi bagaimana harus saya aplikasikan saranan kerajaan tadi pada keluarga si miskin? Selama ini pun mereka sudah cukup berjimat dengan makan sehari sekali. Apakah dengan kenaikan ini menuntut mereka makan dua hari sekali untuk memenuhi hasrat kerajaan agar berjimat? Maka menderitalah mereka yang sudah mempunyai hutang keliling pinggang kerana terpaksa berhutang lagi, ibu-ibu tunggal terpaksa meninggalkan anak kerana berkerja lebih masa, suami isteri bertegang leher akibat ke’sesak’kan wang belanja dan pekerja terpaksa diberhentikan kerana majikannya ingin berjimat. Bagaimana saya harus memahami hal yang seperti ini?

Sebaliknya yang perlu berjimat cermat terlebih dahulu sebenarnya adalah menteri-menteri dan pegawai kerajaan!  Di dalam rakyat menderita dan menangis, mereka masih lagi duduk selesa dengan kerusi empuk mereka. Di saat rakyat terpaksa berpeluh dan berhimpit di dalam bas, mereka tetap menaiki kereta kerajaan yang menaja penuh minyak untuk ke destinasi. Ketika rakyat mula mencatu beras, mereka sedang menikmati layanan VIP dan makanan sedap di hotel mewah. Di waktu rakyat terpaksa menggadai harta benda, mereka sedang berkira-kira untuk claim sana sini. 






PEMIMPIN MENJADI IKUTAN

Pemimpin yang berjiwa rakyat adalah pemimpin yang merasai kesusahan dan keperitan yang terpaksa rakyat hadapi. Mereka akan mengutamakan rakyatnya terlebih dahulu melebihi kepentingan peribadi. Pemimpin yang akan menangis bersama disaat rakyatnya ditimpa musibah. Hal ini mengingatkan kita pada Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab r.a, khalifah Islam yang kedua selepas kewafatan Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan merendah diri. Beliau sangat kasihkan rakyatnya sehingga dikisahkan ketika beliau dijamu sajian daging, Umar tidak mahu makan kerana bimbangkan jika ada rakyatnya yang masih belum dapat memakan daging (ketika itu hidangan daging adalah istimewa). Beliau mahu memastikan terlebih dahulu agar rakyatnya dapat memakan daging, barulah beliau menjadi orang yang terakhir memakannya. Di waktu malam, beliau akan menyamar sebagai orang biasa dan meronda untuk memastikan jika ada rakyatnya yang sedang kelaparan. Inilah sifat keluhuran seorang pemimpin agung.

Sifat ini diwarisi oleh cucunya, Umar bin Abdul Aziz yang menjadi khalifah di waktu pemerintahan bani Umayyah. Beliau juga seorang pemimpin yang sangat menitik beratkan masalah umatnya. Di awal perlantikannya sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz menangis sehingga tidak mampu berdiri. Beliau amat takut jika di akhirat kelak rakyatnya akan menuding salah padanya. Namun, pemerintahannya sangat dikagumi kawan dan lawan. Beliau berjaya mengagihkan kekayaan negara secara adil dan mengembalikan hak-hak rakyatnya. Disebabkan itu diwaktu pemerintahan beliau, tiada orang yang berhak menerima zakat. Atau maksud lainnya, tiada orang miskin waktu itu! Tiada juga masalah dan jenayah kecurian berlaku. Sehinggakan kerajaan ketika itu mengiklankan sesiapa yang tiada wang untuk berkahwin, dibolehkan mengambil wang itu di baitulmal.

Ketika beliau sakit dan dihujung hayatnya, orang telah bertanya padanya “Wahai amirul mukminin, tidakkah engkau ingin mewasiatkan sesuatu pada anak-anak mu?” Jawab Umar bin Abdul Aziz “Apa yang aku ingin wasiatkan, sedang aku tidak memiliki apa-apa.” Lihatlah, betapa hebatnya pentadbiran Umar bin Abdul Aziz. Pemerintahannya hanya memakan masa dua tahun setengah, tetapi beliau mampu menukar dunia Islam keseluruhannya ketika itu. Beliau kembalikan hak dan harta rakyat tanpa mengambil sedikit untuk kepentingan dirinya. Kerana beliau bimbang jika ditanya Allah tentang kepimpinannya di akhirat kelak.

Inilah ciri-ciri pemimpin yang kita dambakan buat tanahair Malaysia. Janganlah memberi alasan bahawa kenaikkan harga gula disebabkan gula membahayakan kesihatan. Itu bukanlah jawapan yang bijak daripada mulut seorang pemimpin. Saya berharap agar kekayaan negara dapat diagihkan secara adil agar nikmat yang Allah beri dapat kita rasa bersama. Kembalikan hak rakyat. Mungkin rakyat boleh menghakimi anda pada pilihanraya umum, tetapi jangan lupa bahawa Allah pula akan menghakimi anda di akhirat nanti. 






Semoga Allah terus memberikan limpah rahmatNya buat Malaysia tercinta.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hargadieselbebanpengusahabas/Article


An-Nuuri

READ MORE- Kesempitan Yang Akhirnya Melemaskan