Friday, February 26, 2010

Maulid Nabi dan 41 Kelebihan Rasulullah s.a.w

Maulid Nabi dan 41 Kelebihan Rasulullah s.a.w






Semenjak kebelakangan ini, rakyat Malaysia disibukkan dengan isu perarakan sambutan Maulidul Rasul 1431 H. Isu ini tertimbul apabila sebilangan ahli politik dan ahli agama telah mengambil keputusan untuk tidak mahu meraikan sambutan maulid pada tahun ini. Keputusan ini menimbulkan kemarahan segelintir umat Islam di negara kita yang tetap mahu mempertahankan sambutan ini tanpa mengira latar belakang dan sejarah di sebalik sambutan Maulidul Rasul sama ada ianya termasuk di dalam sunnah yang dianjurkan oleh Baginda s.a.w atau tidak.

 

SEJARAH RINGKAS

Sejarah telah mencatatkan bahawa sambutan ini sebenarnya telah diasaskan oleh kerajaan Syiah Fathimiyah di Mesir. Bukan hanya hari jadi Rasulullah s.a.w sahaja yang dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi s.a.w seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a.). juga dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as. Ianya disebabkan mereka berpegang kuat dengan mazhab Syiah yang menggagung-agungkan keluarga Nabi s.a.w. Namun, ketika kerajaan sunnah Ayyubiah memerintah, perayaan ini telah diharamkan. Tetapi di kawasan lain, mereka masih mengamalkannya dan ianya tersebar sehingga ke Malaysia.

 

PERIBADI

Saya secara peribadi merasa sedikit kecewa dan malu apabila melihat respon masyarakat yang marah dengan pembatalan sambutan ini. Seolah-olah ianya satu pengakhiran buat umat Islam Malaysia. Mengapa tidak dibuat demonstrasi bantahan apabila ramai pemuda Islam yang telah murtad? Mengapa tidak dibakar patung sebagai tanda protes ketika remaja Islam berpusu-pusu memenuhi kelab-kelab malam? Saya bukanlah bercakap di atas kapasiti politik, tetapi saya bercakap berdasarkan neraca pertimbangan agama.

Maka apabila isu ini diketengahkan, pelbagai persoalan yang timbul mengenai. Antaranya, para sahabat Rasulullah s.a.w tidak pernah melakukan sambutan meraikan kelahiran baginda s.a.w ketika hidupnya. Setelah baginda wafat juga tidak ada perayaan sambutan ini untuk mengingati Baginda s.a.w. Begitu juga dengan 3 kurun selepasnya (salaf soleh). Jika mahu dibuat perbandingan, merekalah yang lebih mencintai Nabi s.a.w melebihi diri kita. Apakah dengan mengadakan sambutan ini, ia menjadi kayu pengukur sebagai mencintai Nabi s.a.w? Adakah kecintaan itu ditunjukkan hanya pada 12 Rabiul Awwal sahaja?

 

REALITI

Kebiasaannya, apabila kita meminati seseorang, kita ingin menjadikan beliau sebagai idola. Dari situ kita akan cuba meniru setiap gayanya. Sebagai contoh, peminat Michael Jackson akan meniru gaya tariannya. Begitu juga peminat bola sepak, mereka akan meniru skil atau gaya rambut Cristiano Ronaldo.  ‘Tiru’ itu sebagai cara mereka menzahirkan rasa minat terhadap idola pujaan mereka. Juga tidak terkecuali, bagi yang ingin menunjukkan rasa cinta kepada idola itu.

Maka, bagaimana pula untuk melahirkan rasa cinta terhadap Nabi junjungan kita s.a.w? Adakah memadai dengan mengatakan “aku sayangkan Nabi s.a.w”? Seperti seseorang yang cintakan isterinya/suaminya, tidak cukup hanya melafazkan kata-kata itu buat pasangannya. Tetapi perlu dizahirkan dengan perbuatan. Dengan sebab itu, Nabi s.a.w telah meninggalkan ribuan khazanah hadis buat kita untuk mengamalkannya. Melalui hadis inilah kita dapat mencontohi dan meneladani setiap tingkah laku serta personaliti Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai bukti tanda cinta dan kasih kita sebagai umat Muhammad terhadap Baginda s.a.w.

 

SEBUAH KITAB

Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi 41 kelebihan Rasulullah s.a.w berbanding para nabi lain. Kelebihan-kelebihan ini telah dinukilkan oleh Sheikh Izzuddin Abdul Salam di dalam kitabnya, Bidayatussul. Dan ianya telah dihuraikan oleh pensyarah dan penyelia tesis saya, Dr.Abdul Basit bin Abdul Rahman. 




(Bersama Dr.Abdul Basit bin Abdul Rahman ketika majlis konvokesyen KIAS.)


Saya hanya memberikan isi-isi penting, selebihnya pembaca boleh download kuliah ini di bawah.

 

1.      1) Nabi s.a.w merupakan pemimpin bagi semua nabi.

 

2.      2) Ditangan Nabi s.a.w akan ada bendera kepujian di hari kiamat.

 

3.     3) Nabi Adam a.s  akan berdiri dibawah bendera Nabi s.a.w.

 

4.      4) Allah s.w.t telah mengampunkan dosa Nabi s.a.w yang terdahulu atau yang terkemudian. Disebabkan itu Nabi s.a.w adalah seorang yang ‘maksum’ (bebas dari dosa). Hanya Nabi s.a.w sahaja yang dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Allah s.w.t. Keistimewaan yang tidak diberikan kepada para nabi lain.

 

5.     5) Nabi s.a.w adalah orang pertama yang mendapat keizinan syafaat dan orang pertama yang akan memberi syafaat di hari kiamat.

 

6.      6) Nabi s.a.w sentiasa melebihi masalah umat melebihi diri baginda sendiri.

 

-          Setiap nabi mempunyai kuasa doa yang akan diperkenankan oleh Allah s.w.t serta merta.

Doa ini hanya diberi sahaja sekali kepada setiap nabi. Sepertimana nabi Nuh a.s berdoa kepada Allah s.w.t selepas berdakwah selama 950 tahun- agar kaumnya dibinasakan. Namun, Nabi s.a.w telah menyimpan kuasa doa ini untuk berdoa di hari kiamat bagi menyelesaikan masalah umatnya.

 

7.      7) Hebatnya Rasulullah s.a.w sehingga Allah s.w.t bersumpah dengan hayat Nabi s.a.w.

 

                        لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ

 

Maksudnya: (Allah berfirman): "Demi umurmu** (Muhammad), Sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)". (al-Hijr, ayat:72)

 

**Keterangan:  Orang Arab biasa bersumpah dengan umur seseorang. disini Allah bersumpah dengan umur atau kehidupan nabi Muhammad s.a.w. untuk memuliakan beliau.

 

8.      8) Allah s.w.t memuliakan Nabi s.a.w dalam panggilan-Nya. Jika kita perhatikan, Allah s.w.t tidak memanggil gelaran Muhammad di dalam Quran, tetapi memanggilnya dengan panggilan jawatan..”ya ayyuha nabi/rasul”..Tetapi para nabi lain dipanggil dengan nama mereka seperti Adam, Nuh, Musa, Isa, Ibrahim dan sebagainya.

 

9.      9) Mukjizat nabi lain sudah tiada. Tetapi mukjizat Quran terus dapat dilihat dan akan kekal sehingga hari kiamat.

 

*Perbandingan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mukjizat para nabi yang lain. Bahkan mukjizat para nabi lain juga begitu hebat dan besar. Tetapi tujuannya untuk kita sebagai umat Muhammad berbangga dengan nabi kita dan kelebihan ini juga sebenarnya satu pengiktirafan dan penghormatan buat Nabi s.a.w.

 

10.  10) Nabi s.a.w menerima salam dari batu semasa baginda di Mekah. Begitu juga pelapah tamar yang menangis ketika berpisah dengan Nabi s.a.w.

 

11. 11) Nabi s.a.w mengeluarkan air dengan hanya menerusi jarinya untuk kaum muslimin berwuduk. Berbanding nabi Musa a.s yang mengeluarkan air dari celahan batu dengan mengunakan tongkatnya.

 

12.  12) Nabi Isa a.s telah menyembuhkan mata orang buta. Tetapi Nabi Muhammad s.a.w telah memasukkan mata orang yang terkeluar dan menjadikannya celik kembali seperti asal. Peristiwa ini berlaku kepada sahabat, Qatadah apabila matanya terkeluar ketika perang Uhud.

 

13.  13) Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati. Tetapi Nabi s.a.w telah menghidupkan jiwa yang mati yakni dakwah Islam baginda menjadikan orang yang kufur berubah menjadi orang yang beriman. Ianya kekal sehingga hari kiamat.

 

14.  14) Setengah penduduk syurga terdiri daripada umat Nabi Muhammad s.a.w.

 

15.  15) Nabi dan rasul yang lain diutuskan kepada kaum yg khusus. Tetapi Nabi s.a.w diutuskan kepada seluruh manusia dan jin. Rahmatan lil a’lamin.

 

16.  16) Nabi Musa a.s berkata-kata dengan Allah s.w.t di bumi (bukit thursina dan di lembah yg suci), tetapi Nabi s.a.w berkata-kata dengan Allah s.w.t di sidratul muntaha (langit ketujuh).

 

17.  17) Umat Muhammad s.a.w merupakan umat terakhir di dunia, tetapi umat pertama yang akan di hisap di akhirat dan pertama masuk syurga.

 

18.  18) Nabi s.a.w merupakan orang pertama yang terbelah kuburnya di hari akhirat, orang pertama pemberi syafaat kepada umatnya dan orang pertama yang menerima pertolongan dari Allah s.w.t.

 

19.  19) Nabi Muhammad s.a.w diberi kuasa syafaat, yakni satu kuasa yang diingini oleh para nabi yang lain untuk memilikinya.

 

20. 20) Kuasa syafaat adalah satu kedudukan tinggi di syurga, hanya seorang hamba Allah sahaja yang mampu memperolehnya. Dan Nabi s.a.w amat mengharapkannya agar baginda mampu memberikan syafaat ini kepada umatnya nanti.

 

21. 21)  70,000 umat Muhammad s.a.w akan masuk syurga tanpa hisap dan azab.  Keistimewaan yang tidak diberikan kepada kaum nabi lain.

 

22. 22) Nabi s.a.w mempunyai kolam al-Kautsar di syurga dan kolam Haudh di luar syurga untuk kita (umat Muhammad) minum daripadanya.

 

23. 23) Umat Muhammad merupakan umat terakhir di dunia, tetapi umat pertama yang diselesaikan masalahnya dan memperoleh ketinggian darjatnya di hari akhirat kelak.

 

 

24.  24) Halal bagi umat Muhammad s.a.w untuk mengambil harta ghanimah di dalam perang. Tetapi umat terdahulu tidak diizin untuk mengambilnya.

 

-          5 perkara yang diberikan kepada nabi Muhammad s.a.w, tetapi tidak diberikan kepada nabi lain :

 

i)     Lurus saf solat umat Muhammad s.a.w seperti lurus saf mailakat.

 

ii)   Allah s.w.t menjadikan bumi sebagai masjid. Boleh solat di mana sahaja melainkan ditempat yang haram seperti tandas.

 

iii) Tanah bumi bersih untuk bertayammum.

 

iv) Nabi s.a.w diberi bantuan oleh Allah s.w.t dengan perasaan gerun di dalam hati musuh-musuhnya.

 

v)   Nabi Muhammad s.a.w mampu memberikan syafaat buat umatnya.

 

 

25.  25) Allah s.w.t telah memuji peribadi dan akhlak Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t :

 

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

 

Maksudnya:  “Dan Sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (al-Qalam, ayat:4)

 

26.  26) Allah s.w.t telah berkata-kata dengan Nabi s.a.w melalui pelbagai cara menerusi wahyu. Antaranya, ru’yah (mimpi), secara langsung (ketika israk & mi’raj), menerusi malaikat Jibril (berupa manusia dan suara loceng), Jibril meniup wahyu ke dalam hati Nabi s.a.w.

 

27. 27) Kandungan al-Quran terdiri daripada isi kandungan taurat, injil dan zabur. Tetapi keistimewaan al-Quran melebihi kitab yang lain adalah mempunyai surah yang pendek.

 

28.  28) Amalan yang diberikan kepada umat Nabi s.a.w adalah sedikit berbanding umat yang terdahulu, tetapi ganjarannya  besar di sisi Allah s.w.t.

 

29.  29) Allah s.w.t memberi tawaran jawatan dan kekayaan kepada Nabi s.a.w, iaitu sebagai seorang nabi yang berkuasa dan kaya. Namun Nabi s.a.w memilih untuk menjadi hamba yang bersyukur.

 

30. 30) Allah s.w.t menjadikan Nabi s.a.w sebagai rahmat seluruh alam.

 

31.  31) Segala tingkah laku dan tindak tanduk Nabi s.a.w menunjukkan indahnya sifat Nabi s.a.w.

 

32. 32) Nabi s.a.w seorang yang berlemah lembut di dalam perkara yg halal, tetapi tegas dalam perkara yang haram.

 

33.  33) Nabi s.a.w berlemah lembut dengan orang mukmin, tetapi bertegas dengan orang kafir.

 

34.  34) Nabi s.a.w sentiasa berkeinginan tinggi untuk melihat umatnya menerima dakwah Islam. Oleh itu, Nabi s.a.w selalu mengutamakan umatnya di dalam semua hal.

 

35.  35) Nabi s.a.w telah berjaya menyampaikan semua amanah dan menyempurnakan Islam kepada umatnya.

 

36.  36) Allah s.w.t menjadikan umat Islam sebagai saksi kepada nabi-nabi terdahulu bahawa mereka telah menjalankan tugas dakwah mereka.

 

37.  37) Allah s.w.t memberi jaminan untuk memelihara umat Muhammad s.a.w dari kesemuanya sesat. Pasti akan ada kumpulan yang bangun untuk membela Islam ketika wujudnya kumpulan-kumpulan yang menentang dan sesat.

 

38.  38) Allah s.w.t telah berjanji untuk memelihara al-Quran dari diselewengkan.

 

39.  39) Allah s.w.t tidak akan memberitahu sama ada amalan seseorang umat Muhammad s.a.w itu diterima atau tidak. Hal ini lebih baik untuk menutup keaiban orang yang tidak diterima amalannya. Kita hanya perlu berdoa agar amalan kita diterima Allah s.w.t. Berbanding umat terdahulu, Allah s.w.t akan ‘menjawab’ terus amalan mereka sekiranya diterima atau tidak.

 

40.  40) Allah s.w.t mengutuskan Nabi s.a.w dengan “jawami’ul kalim” iaitu kata-kata yang sedikit, tetapi maksud yang cukup banyak dan mendalam. Hal ini boleh dilihat di dalam kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w yang mana doanya ringkas, tetapi maksudnya besar.

 

41.  41) Kelebihan yang dikurniakan kepada Nabi s.a.w melebihi kelebihan semua para nabi dan malaikat.

 

 

Untuk mendengar lebih lanjut, sila download audio ini.

 

 

An-Nuuri

READ MORE- Maulid Nabi dan 41 Kelebihan Rasulullah s.a.w

Wednesday, January 27, 2010

Keperitan itu terasa

Keperitan itu terasa..

 

Saat itu, saya dan seorang lagi teman sebilik, Sufian (link) terkejut dengan berita yang disampaikan Rusli. Beliau baru sahaja kehilangan ibunya yang dikasihi ke sisi Rabbul Jalalah subahanu wa taala. Kami tersentak dengan berita itu kerana sebelum ini tidak kedengaran ibunya sakit. Namun Allah s.w.t jualah yang menentukan segala-galanya dan tidak terlepas sesuatu dari tangan-Nya.

Ketika itu, pelbagai perasaan yang hinggap dijiwa ini.

Sedih.

Pilu.

Apatah lagi melihatkan bebanan kesedihan yang terpaksa beliau pikul.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Kami cuba menenangkannya.

Namun, pipi kami juga tidak terlepas dari dibasahi air mata.




(Keluarga saya dan rusli)

Ini merupakan satu dugaan dan ujian besar buat dirinya.

Dalam keadaan kami bermusafir yang jaraknya beribu batu untuk mencari ilmu, singgah pula berita yang menyedihkan ini.

Berita yang memerlukan 1001 ketabahan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 286:

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها

“Allah tidak memberati seseorang melainkan dengan apa yang termampu baginya.”

 

Tidak tahu mengapa, air mata ini bagaikan tidak mahu berhenti mengenangkan kesedihan yang dialaminya.

Ya, saya begitu rapuh malam itu.

Pelbagai perkara yang bermain di benak fikiran.

Begitu juga apabila melihatkan sahabat-sahabat lain datang memberikan ucapan takziah serta kata-kata semangat buat beliau.

Suasana yang sungguh mengharukan.

 

مَثَلُ المُؤمِنِيْنَ فِي تَرَاحُمِهِم وَتَوَّادِّهِم وَتَعَاطُ فِهِم كَمَثَلِ الْجَسَدِ الوَاحِدِ

إذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الأَعْضَاءِ بِالَسَهَر وَالحُمَّى

“Perumpamaan kaum mukminin dalam sikap saling mengasihi, saling menyayangi, dan saling iba adalah seperti sebuah jasad (tubuh). Jika salah satu anggota tubuh mengeluh sakit maka anggota tubuh yang lainnya akan turut tidak dapat tidur dan akan merasakan sakit tersebut .” (HR. Bukhari dan Muslim).

 

Namun, kata-kata seorang pemuda palestin, Omar sangat menyentuh hati saya.

“Jangan kau bersedih wahai sahabatku. Kerana mati itu perkara yang pasti. Ianya telah ditetapkan Allah s.w.t. Janganlah kau sesekali meraguinya (tentang kematian). Berdoalah pada Allah s.w.t (akan ibumu).” Lalu mereka berpelukan.

Begitu telus katanya.






Berita itu saya sampaikan pula kepada ibu saya, lalu jawabnya:

“Semua milik kita pinjaman dari Allah s.w.t. Ibu bapa pinjaman Allah buat anak-anak, begitu juga anak-anak pinjaman Allah buat ibu bapa.”

Sebak saya mendengarnya.

Benar katamu wahai ibuku.

Sememangnya ini adalah ujian yang perlu ditempuhi setiap dari kita.

Tidak tahu bila giliran kita akan menyusul.

Tetapi apa yang penting, perkara itu adalah pasti.

Bersabarlah wahai sahabat.

Jangan mudah berputus asa.

Perjalanan perlu diteruskan.

Perjuangan dalam mencari ilmu di dataran syam ini.

Tanggal 25 Januari 2010 adalah satu tarikh yang tidak boleh beliau lupakan.

Semoga ruh ibunya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ * الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ *

155. “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."  (al-Baqarah)

 

An-Nuuri

READ MORE- Keperitan itu terasa

Tuesday, January 19, 2010

Sekecil Akal Seluas Langit

Sekecil Akal Seluas Langit

 

“Kenapa singa yang lapar tu makan anaknya?” Tanya adik saya semasa kami menonton National Geography.

“Sebab singa itu tiada akal.” Jawab saya.

“Bukankah haiwan juga ada perasaan?” Beliau kehairanan.

“Benar, tetapi perasaan sahaja tidak cukup untuk membuat keputusan. Kita perlukan akal untuk berfikir dan menilai.” Saya cuba menghurai.






Sesungguhnya Allah s.w.t mencipta manusia sebagai khalifahNya di muka bumi ini. Disebabkan itu, Allah s.w.t telah menciptakan setiap dari kita sebuah akal. Itulah perbezaan kita dengan makhluk yang disebutkan haiwan. Jika Allah s.w.t memberikan akal buat si haiwan, pasti haiwan juga bisa menjadi khalifah di muka bumi ini. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t memuliakan manusia dengan diberikan akal. Walhal akal itu jisimnya kecil, namun peranannya besar!

Persoalannya, apakah akal kita mampu untuk mengukur setiap perkara dan permasalahan?

 Sejauh mana akal kita mampu berfikir?

 

ATHEIST VS MUKTAZILAH

Istilah Atheist berasal dari bahasa yunani kuno, iaitu atheos, yang bererti tidak bertuhan. Fahaman ini dikatakan muncul seawal abad ke-6 SM. Namun ada juga pendapat lain yang mengatakan ianya bermula pada abad  ke-18 Masihi. Golongan ini beranggapan bahawa semua yang ada di dunia ini tercipta secara semulajadi. Mereka tidak percaya pada kewujudan Tuhan kerana tidak adanya bukti secara hakiki akan Tuhan, bukti yang boleh dirasai oleh pancaindera manusia seperti bau, lihat dan dengar.

Mungkin kebanyakan kita biasa mendengar nama seperti Plato, Aristotale, Socrates, Charles Darwin yang memperkenalkan evolusinya dan ramai lagi. Merekalah antara tokoh-tokoh besar yang berpengaruh di dalam fahaman atheist ini. H. Havelock Ellis seorang atheist mengatakan : “Perlu diingat, manusia yang ‘menciptakan’ tuhan.”






Sementara Muktazilah pula merupakan salah satu aliran atau mazhab di dalam Islam. Mereka mempercayai kewujudan dan keesaan Allah, namun mereka lebih selesa menggunakan akal mereka di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah. Antaranya, mereka mendakwa bahawa al-Quran itu makhluk Allah s.w.t. Kemudian mereka menafikan qadar Allah s.w.t dengan beriktikad bahawa perbuatan manusia tiada kaitan dengan takdir Allah. Mereka juga mengatakan pelaku dosa besar tidak dipanggil kafir ataupun mukmin, tetapi kedudukan pelaku dosa besar ini berada diantara keduanya (manzilah baina manzilatain). Walaupun begitu, Ahli Sunnah menolak semua dakwaan fahaman muktazilah ini.

Namun, apakah persamaan bagi kedua aliran ini?

Jawapannya, KEBEBASAN AKAL.

 

Al-QURAN DAN AKAL

Perlu difahami, bahawa akal semata-mata tidak mampu menjamin untuk membawa manusia ke jalan kebaikan. Apa yang difikirkan baik oleh akal, belum tentu baik buat manusia sejagat. Begitu juga sebaliknya. Kerana ia mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti adat, budaya dan bangsa.  Sebagai contoh, sendawa selepas makan dianggap perkara biasa bagi masyarakat di Malaysia. Namun di mata masyarakat arab, ia merupakan suatu penghinaan buat mereka.

 Disebabkan itu, Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran sebagai panduan buat akal manusia. Setelah itu, diutuskan pula Nabi Muhammad s.a.w untuk menerangkan al-Quran buat manusia. Agar batas pemikiran manusia selari dengan apa yang telah temaktub di dalam al-Quran. Sekiranya akal manusia bertentangan dengan al-Quran, maka ianya tertolak.  Soalnya, mengapa akal mesti dipandu oleh al-Quran?

Kerana akal manusia ada batasnya.

 Manusia yang banyak berfikir dalam mencari sebarang jawapan, pasti akan mengalami sakit kepala. Bahkan boleh menjadi gila!

 

PENGALAMAN

Pernah ditanya kepada saya, mengapa solat subuh dua rakat tetapi zohor empat rakaat?

Mengapa kaabah bentuknya segi empat dan tidak segi lapan?

Kenapa Allah s.w.t mengutuskan beribu-ribu malaikat bagi membantu Nabi Muhammad s.a.w di dalam peperangan Badar? Sedangkan sebelah sayap satu malaikat sudah cukup untuk memukul semua orang kafir ketika itu?

Begitu juga kata Epicurus, seorang tokoh pemikir yunani: “Adakah Tuhan mampu melawan kejahatan, tetapi tidak mahu?atau Tuhan mahu melawan, tetapi tidak mampu?”

Persoalan-persoalan sebegini yang seringkali timbul bagi mereka yang gemar menggunakan akal dalam semua perkara.  

Sedangkan al-Quran dan hadis telah mendahului dalam memberikan jawapan bagi permasalahan seperti ini. Firman Allah s.w.t:

 

يا أيها الذين ءامنوا لا تسألوا عن أشياء إن تبد لكم تسؤكم

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.” (al-Maidah, ayat:101)

 

Hadis Nabi s.a.w:

رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى ا للهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوْهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِیْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ آَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ .

 

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” (Riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

 

Berkata Imam asy-Syatibi r.h di dalam kitabnya, al-Muwafaqat:

“Apabila kita menerima ibadah yang bersifat ta’abbudi  yang tidak diketahui  sebabnya (mengapa solat dua rakaat dan sebagainya), itulah tanda tunduk kita kepada Allah s.w.t kerana kita tidak lebih pandai dariNya.”

 

PERDEBATAN IMAM ABU HANIFAH VS ATHEIST

Atheis : Pada tahun berapakah Tuhanmu dilahirkan?

Abu Hanifah : Allah berfirman “Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan”.

Atheis : Masuk akalkah bila dikatakan bahawa Allah adalah yang pertama dan tidak ada sesuatu sebelum-Nya? , pada tahun berapa Dia ada?

Abu Hanifah : Dia (Allah) ada sebelum adanya sesuatu.

Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan!

Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang perhitungan?

Atheis : Ya.

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?

Atheis : Tidak ada angka.

Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan hairan kalau sebelum Allah Yang Maha Esa yang hakiki tidak ada yang mendahului-Nya?

Begitulah kisah mereka yang menggunakan akal dan orang yang berpaksikan al-Quran.

 

HAKIKAT INSAN

Secara fitrahnya, manusia sememangnya mempercayai kewujudan Allah s.w.t sebagai pencipta. Ia adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan dari manusia. Hatta orang asli yang tinggal di hutan sekalipun, walaupun terputus maklumatnya dari dunia semasa, mereka tetap akan memperakui kewujudan pencipta alam ini. Tidak kira bagaimana tafsiran dan nama tuhan yang mereka berikan. Inilah fitrah yang telah dibekalkan kepada manusia oleh Allah s.w.t tanpa perlu diajar. Sepertimana kita tidak mengajar seorang lelaki untuk suka kepada seorang perempuan, dan sebaliknya. Kerana ianya fitrah semulajadi manusia yang tidak perlu diberitahu. Begitulah halnya insan dalam mempercayai kewujudan Allah s.w.t.

Namun bagi mereka yang freethinker ini, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka cuba menipu diri sendiri dengan menafikan kewujudan Allah s.w.t. Pertama, mereka menggunakan logik akal bahawa tiada bukti yang kukuh tentang kewujudan Allah s.w.t. Keduanya, mereka berputus asa dan hilang kepercayaan kerana doa mereka belum dimakbulkan Allah s.w.t.

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ وَٱخْتِلاَفِ ٱلَّيلِ وَٱلنَّهَارِ لآيَاتٍ لأُوْلِي ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,”(al-Imran, ayat: 190)

أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ*   وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ  * 

Maksudnya: “tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan?”(al-Ghaasyiyah, ayat: 18&19)

 

Nabi s.a.w bersabda : ”Berfikirlah tentang makhluk-makhluk (ciptaan) Allah dan jangan berfikir tentang Dzat Allah s.w.t.” (Riwayat at-Thabarani, Al-Baihaqi dari Ibnu Umar).






Siapakah yang mengatur siang dan malam saling silih berganti?Matahari dan bulan terbit tepat pada waktunya. Tidak pernah sekali terjadi peristiwa matahari tidak terbit atau malam tidak menjelma.

Bagaimana pula langit didirikan tanpa tiang dan tidak jatuh?

Siapa pula yang membekalkan oksigen buat manusia?

Adakah semua yang ada di alam ini wujud dengan sendirinya?

 

Saya juga pernah ditanya oleh seorang bukan muslim,”di mana Tuhan kamu?”

“Apakah anda percaya angin itu wujud?” soal saya kembali.

“Ya.” Jawabnya ringkas.

“Kenapa anda percaya angin itu wujud sedangkan anda tidak melihatnya?” Tanya saya lagi.

“Kerana saya berasa sejuk ketika angin itu ditiup.” Jelasnya.

“Begitu jugalah Allah s.w.t. Kita tidak dapat melihatnya, tetapi kita tahu akan kewujudannya.” Saya menjawab persoalan beliau.

 

Secara mudahnya, jika manusia ditimpa kesusahan atau kesempitan, pasti kita mengharapkan satu kuasa yang kuat untuk menyelamatkan diri sendiri. Disebabkan itu, saya mengatakan sebenarnya golongan freethinker ini cuba menipu diri mereka sendiri. Apabila mereka menolak kewujudan pencipta, maka secara tidak langsung mereka juga telah menolak agama. Itulah objektif dan matlamat mereka. Namun jauh disudut hati mereka masih terasa kesannya.

Tidak nampak bukan bermakna menidakkan.

Tidak tahu bukan bererti menafikan.

Gunakanlah akal agar ia mencetus mahu.

Agar manusia berfikir secara mampu.

 

 Semoga Allah s.w.t merahmati kita semua.

 

An-Nuuri




READ MORE- Sekecil Akal Seluas Langit