Sunday, December 27, 2009

Bukan Pilihan Pertama

BUKAN PILIHAN PERTAMA

 

“Syariah tu apa?” Tanya seorang guru muzik kepada saya.

“Saya tak tahu apa-apa mengenai syariah.” Tambah beliau lagi. Saya sedikit terkejut mendengarkan kata-katanya yang begitu telus.

“Syariah adalah perkara-perkara yang berkaitan tentang hamba dengan pencipta dan hubungan manusia sesama manusia.” Jawab saya tanpa menggunakan definisi buku.

Ya, jika Usuluddin adalah ilmu yang bersifat ketuhanan dan aqidah, Syariah pula dilihat sebagai satu bentuk ilmu bagaimana untuk manusia beribadah kepada Allah s.w.t serta menjaga hak-hak manusia yang lain.

Disebabkan itu Islam adalah satu agama yang syumul kerana ia bersifat menyeluruh dari semua aspek. Hatta sekecil-kecil perkara seperti bersugi juga dititik berat di dalam Islam.

“Seperti bermain gitar, kita tidak dapat menghasilkan bunyinya jika tiada tali. Begitu juga jika hanya ada satu tali tanpa lima tali yg lain, bagaimana melodi gitar itu akan tercipta.” Saya cuba mengkaitkannya dengan muzik.

Beliau mengangguk faham. 






Benar, ramai lagi di luar sana yang masih belum memahami metod pengajian Islam. Walaupun kita telah mempelajarinya secara asas semasa di sekolah rendah mahupun menengah disebabkan silibus kerajaan yang mewajibkan bagi pelajar beragama Islam untuk mempelajarinya. Tetapi itu tidak bermakna bahawa mereka benar-benar faham berkaitan dengan Islam.

Secara pastinya, jika disebut perkataan Syariah itu sendiri, perkara yang digambarkan mereka adalah hal ehwal berkaitan rumah tangga seperti nikah, talak dan sebagainya. Ya, tetapi itu cuma salah satu daripada juzu’nya. Syariah sememangnya luas dan meliputi semua aspek jika kita selaminya. Perkara yang melibatkan seperti ibadat, muamalat, jenayah, politik, kesemuanya sebahagian daripada Syariah. Fungsinya adalah agar manusia menjaga hubungan dengan Allah serta menjaga hubungan sesama manusia.

حبل من الله و حبل من الناس

Barangkali jika saya menjawab saya adalah pelajar perubatan atau kejuruteraan, pasti jawapan atau reaksinya berbeza. Hal ini kerana  bidang professional seperti itu lebih mendapat tempat di hati masyarakat pada hari ini. Bukanlah saya cuba untuk membanding-bandingkan, tetapi itulah realiti sekarang. Jurusan agama dianggap bukan lagi pilihan pertama. Malah saya juga terkena tempiasnya apabila menolak tawaran ke IPTA satu masa dahulu.

“Apalah kau, orang ramai nak masuk ke Ipta tak dapat,tapi kau dah dapat, tolak pulak.” Rungut seorang kawan.

“La, apsal kau tolak? Ruginya. Kawan-kawan kita ramai disana” Kata rakan saya yang lain.

Dan pelbagai lagi reaksi dan respon yang saya terima dari rakan-rakan. Namun, saya tidak sesekali menyesal dengan keputusan yang telah diambil 3 tahun lalu.

 

DAHULU DAN SEKARANG

Jika pada tahun sebelum merdeka, ibu bapa berpusu-pusu untuk menghantar anak mereka bagi mendalami ilmu agama. Malah ibu bapa juga ingin bermenantukan orang yang arif tentang agama. Tetapi hari ini kita lebih menilai pada jawatan dan gaji pekerjaan seseorang. Mungkin kita biasa mendengar dialog di dalam cerita Ibu Mertuaku, “Siapa dia Kassim Selamat?Lawyer?Majistret?”






Saya bukan mahu mempertikaikan pilihan masing-masing, kerana kita berhak untuk memilih yang terbaik buat diri kita. Bahasa mudahnya, tiada siapa yang mahukan kesusahan di dalam hidupnya.

“Saya minat sains and nak jadi doktor. Doktor biasanya kaya.” Jawab seorang pelajar perubatan ketika saya bertanyakan mengapa beliau memilih jurusan perubatan.

Ya, kesemua kita pasti mahukan kesenangan di dalam hidup. Tetapi jika kita ingin menceburkan diri di dalam jurusan professional, atau mahukan calon suami atau menantu seperti itu, biarlah yang ada nilai-nilai agama pada hidupnya. Malah saya lebih hormati kepada golongan perubatan yang menghafal Quran. Kerana ianya akan menambahkan lagi tahap keimanan mereka disebabkan banyaknya ayat-ayat di  dalam Quran yang menyebut tentang sains.

Justeru, apa sekalipun bidang yang diceburi, janganlah dijauhkan dari agama. Jika ahli perbankan, biarlah kewangan secara Islam yang jauh dari riba’, jika ahli saintis, biarlah saintis yang dapat mencari penawar bagi penyakit tanpa menggunakan bahan terlarang, jika seorang jurutera, lihatlah bagaimana hebatnya senibina tamadun Islam dahulu tercipta, jika seorang peguam atau hakim, jauhkanlah diri daripada rasuah. Ketahuilah, semua ilmu yang bermanfaat di dunia ini adalah datangnya dari Allah s.w.t.

 

tوَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (13)   

 

dan ia memberikan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi mereka yang berfikir.

(Surah al-Jatsiyah, ayat 13)

 

 

An-Nuuri





2 comments:

  1. salam ziarah...
    teruskan menulis dan membawakan manusia berfikir akan hakikat hidup ini adalah utk ibadah kpd Allah....

    ReplyDelete
  2. Wslm..
    Terima kasih di atas sokongan anda..
    InsyaAllah, tugas kita semua untuk menyedarkan masyarakat..

    ReplyDelete