Tuesday, January 12, 2010

Respons Terhadap Pembakaran Gereja

Respons Terhadap Pembakaran Gereja.







Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan insiden 3 buah gereja dibakar baru-baru ini. Saya percaya ianya disebabkan isu yang masih hangat diperkatakan iaitu penggunaan istilah Allah oleh Kristian. Oleh itu, saya tidak menolak kemungkinan ianya dilakukan oleh salah satu dari kelompok ini:

1. Orang Islam yang ghuluw (berlebih-lebihan atau melampau) tetapi jahil di dalam agama.

 

2. Orang kafir yang suka menimbulkan provokasi dan perbalahan antara agama.

 

 

Namun apa yang pasti, sikap membakar gereja seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu ini, telah menimbulkan satu suasana yang tidak aman sekaligus telah mencalar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama serta harmoni penduduknya. Berita ini mendapat liputan luas di luar negara dan menjadi tajuk utama mereka. 

 

Perlu difahami, di dalam konsep kebebasan beragama, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Termasuk di dalamnya, kita dilarang untuk mencerca tuhan mereka, memperlekehkan ibadat mereka, merobohkan rumah ibadat mereka dan mengganggu tugasan mereka di dalam beragama. Kerana Allah memerintahkan kita agar berdakwah, bukan menghina dan mencela agama mereka. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 108:

 

 

وَلاَ تَسُبُّوْا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوْا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dalam ketiadaan pengetahuan (jahil). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa Yang mereka telah lakukan.”

 

Prof. Wahbah Az-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya ‘Al-Munir’ (Jilid 7, m/s 327): “Ulama’ berkata bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasulnya”.

 

Disebabkan itu, kita dilarang ghuluw di dalam Islam, kerana ianya tidak membawa sebarang kebaikan, malah akan menimbulkan fitnah dan kekacauan. Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada kita di dalam sepotong hadis yang bermaksud:

 

“Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghuluw), kerana sesungguhnya al-ghuluw telah membinasakan mereka (umat) yang sebelum kamu”.

 

Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah dan Ahmad

 

 

Bagaimana perasaan kita sekiranya masjid umat Islam pula yang dibakar? sebagai tindak balas disebabkan gereja mereka yang telah dibakar. Bagaimana pula jika Rasulullah s.a.w masih hidup dan melihat peristiwa sebegini, adakah Rasulullah s.a.w akan berbangga dengan perbuatan ini? Begitu juga perihal mereka yang mengadakan demonstrasi di jalanan-jalanan serta di hadapan masjid sebagai tindakan protes terhadap orang Kristian. Adakah Rasulullah s.a.w akan tersenyum jika melihatnya?

 

Janganlah kita cuba untuk menjadi wira agama, tetapi dalam masa yang sama kita menggadaikan nilai-nilai murni di dalam Islam.

 

Lihatlah kembali kepada sejarah ketika Islam di zaman kegemilangannya. Bagaimana khalifah Umar al-Khattab memasuki Palestin setelah Islam berjaya menawannya, akan tetapi Umar al-Khattab tidak pernah mengarahkan gereja disitu supaya dirobohkan. Orang-orang yang bukan beragama Islam, bebas untuk meneruskan dengan agama masing-masing. Tidak  pernah kedengaran orang-orang bukan Islam di paksa memeluk Islam, orang-orang bukan Islam dibunuh sesuka hati dan sebagainya. Tidak pernah. Sejarah tidak pernah mencatat peristiwa yang sedemikian. Malah khalifah Abu Bakar as-siddiq ketika mengirimkan tenteranya ke wilayah Syam, beliau telah berpesan:

 

“……janganlah kalian menghancurkan tanaman buah-buahan maupun rumah-rumah peribadatan. Jangan pula kalian membunuh anak-anak kecil, orang-orang tua, mahupun kaum wanita. Jika kalian menjumpai sebagian orang mencari perlindungan dirumah-rumah peribadatan, janganlah kalian mengganggu mereka…..”. (Kanzul umul, jld. II/295)






Begitu juga Sultan Mehmet al-Fatih dari kerajaan Uthmaniyah sewaktu pembukaan Costantinople, beliau bukan sahaja tidak membenarkan daripada gereja dirobohkan, malah menjadikan Aya Sofya yang pada tika itu adalah gereja sebagai sebuah masjid! Lihatlah indahnya Islam sebagai sebuah agama agung yang menghormati agama yang lain.

 

Walaupun Malaysia bukanlah sebuah Negara Islam secara hakiki, namun Malaysia terdiri daripada penduduknya yang majoriti berpenganut Islam dan juga pemimpin yang beragama Islam. Oleh itu, bagi bukan Islam, mereka adalah sebagai kafir zimmi di negara kita. Kafir zimmi adalah mereka yang tinggal di Negara Islam dan tunduk dengan pemerintahan Islam selagi mana mereka tidak memerangi orang Islam.

 

Kehidupan orang-orang kafir zimmi ini adalah dihormati dan dipelihara oleh kaum muslimin dan kerajaan Islam seperti yang diucapkan oleh Saidina Ali bin Abu Talib,

 

 ”Sesungguhnya mereka (orang-orang kafir dzimmi) mengeluarkan jizyah, agar harta mereka menjadi (terpelihara) seumpama harta-harta kita dan darah-darah mereka sama (terpelihara) seperti kita” [Al-Kasani, jilid 7, m/s 111. Al-Mughni, jilid 8, m/s 445].

 

Umat Islam juga dilarang untuk menyakiti mereka seperti disebut dalam hadis baginda s.a.w yang bermaksud:

 

 ” Barangsiapa yang menyakiti ahli zimmi, sesungguhnya aku (Nabi Muhammad) menjadi musuhnya dan sesiapa yang aku adalah musuhnya, akan aku musuhinya pada hari kiamat”

 

Al-Jami’ as-Soghir-As-Suyuti, jilid 2, m/s 473.

 

 

Kita bimbang tindakan segelintir umat Islam yang ekstrim ini akan menimbulkan prejudis mereka terhadap Islam seterusnya akan memburukkan imej Islam yang indah itu. Malah, ia juga akan merosakkan prestasi pendakwah Islam dan menyebabkan orang kafir menjauhkan diri dari Islam. Oleh itu, walaupun ada dikalangan umat Islam di Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, namun hendaklah kita mengawal diri masing-masing agar sentiasa berlaku adil. Firman Allah s.w.t:

 

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تعملون

 

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,menjadi saksi dengan adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap satu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah, kerana itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Maidah, ayat: 8)


Namun, kita juga harus berhati-hati dengan orang kafir. Hal ini disebabkan Islam pada hari ini sering dijadikan propaganda barat dengan mengaitkan Islam sebagai pengganas. Kerana kita tidak menafikan mungkin juga gereja ini dibakar oleh kelompok kedua seperti  yang telah disebut di atas. Ianya tidak mustahil kerana wang bukan segala-galanya bagi mereka. Mereka mempunyai dana yang banyak untuk membinanya semula. Apa yang penting bagi mereka, adalah dengan memburukkan imej Islam di mata dunia dengan cara mengambil kesempatan diatas apa yang berlaku. Tidak mustahil untuk saya katakan jika nanti masjid pula dibakar oleh ‘hidden hand’ ini untuk memarakkan lagi api yang telah menyala. Maka nanti, akan berlakulah peperangan serta konflik agama di Malaysia.






Justeru itu, saya & an-nuuri.blogspot amat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang telah dilakukan oleh ‘hidden hand’ ini. Saya juga menyeru agar perbincangan serta dialog agama dilakukan oleh para ilmuwan di Malaysia agar segala kekusutan akan terungkai. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 

“dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami dan juga Tuhan kamu adalah satu; dan kepadaNyalah kami berserah diri”. (Surah al-Ankabut, ayat: 46).

 

Ruang berbincang itu masih ada..

 

 

An-Nuuri



No comments:

Post a Comment