Monday, January 4, 2010

Kristian Menggunakan Nama Allah: Pandangan Peribadi

Isu Kristian Menggunakan Istilah ‘Allah’.






Umumnya maklum apabila keputusan Mahkamah Tinggi Malaysia telah memutuskan untuk membatalkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian. Hal ini menyebabkan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam marah dengan keputusan tersebut. Pelbagai reaksi yang diberikan sama ada dari ahli-ahli agama dan akademik, badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti-parti politik. Tidak ketinggalan juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang memberi pandangannya terhadap isu ini. Malah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan Agong bagi menjelaskan isu yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia ini. Isu ini timbul apabila surat khabar Herald Tribune telah menggunakan istilah ‘Allah’ di dalam sebuah artikel mereka.






Ahli agama dan akademik telah berbahas mengenai isu ini secara mendalam. Ada pihak yang membolehkan ia digunakan oleh orang bukan Islam dan ada yang tidak bersetuju. Saya bukanlah orang yang layak untuk turut serta di dalam perbahasan mereka, tetapi ianya sekadar pandangan peribadi saya.

Setelah saya meneliti kedua-dua hujah para ilmuwan Islam Malaysia, apa yang saya dapat rumuskan adalah hukum bagi orang bukan Islam atau Kristian menggunakan lafaz Allah adalah HARUS. Hal ini disebabkan terdapat banyaknya ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa sememangnya orang kafir memperakui kewujudan Allah s.w.t.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab “Allah!” (Surah al-Zukhruf, ayat: 87)

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Begitu juga jika kita amati pada sejarah, nama ayah baginda s.a.w adalah Abdullah bin Abdul Mutalib. Nama Abdullah bermaksud hamba Allah. Nama ini diberi semasa zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh anaknya, Muhammad s.a.w. Begitu juga ketika Abu Jahal berdoa di depan Ka’abah agar Allah memusnahkan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau menyebut perkataan Allah di dalam doanya. Dan pelbagai lagi peristiwa lain. Ini menunjukkan mereka yang menyembah tuhan berhala juga mengiktiraf Allah s.w.t.

 

Namun, saya juga mencadangkan agar keharusan ini disertai dengan SYARAT yang ketat.

Keharusan ini dibimbangi ianya akan mengelirukan umat Islam. Kerana pada asalnya memang Kristian mempercayai bahawa Allah itu Esa seperti yang telah termaktub di dalam kitab Bible mereka:

Jesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa.” (Markus 12 : 29)

Namun Kristian pada hari ini telah diselewengkan oleh Paul (Pauline Christianity) dengan mengamalkan triniti di dalam konsep ketuhanan mereka, yakni Allah terdiri daripada 3 zat yang bersatu iaitu: 1- Tuhan bapa 2- Tuhan anak 3- Ruh al-Qudus. Ternyata tidak sama Allah yang mereka dan Islam maksudkan. Bagi umat Islam, tiada tuhan yang patut disembah melainkan Allah s.w.t.

Kebimbangan ini disebabkan lemahnya aqidah umat Islam di Malaysia pada hari ini. Sifat mudah terpengaruh dan rapuh dalam pendirian akan membuatkan umat Islam terjerumus ke lembah kesyirikan. Ini dibuktikan dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku pada hari ini. Lihat saja remaja-remaja kita yang terpengaruh dengan budaya barat seperti punk, rock, skinhead dan sebagainya. Betapa mudahnya remaja-remaja kita pada hari ini terikut dengan gaya budaya barat. Selain itu, berita yang dilaporkan oleh Mufti Perak Dato’ Harussani bahawa gejala murtad semakin berleluasa di Malaysia juga amat membimbangkan kita. Ini menunjukkan betapa lemahnya aqidah Islam dalam jiwa mereka.






Di samping itu, gerakan missionari juga semakin hebat dalam menjalankan dakyah mereka dalam memurtadkan umat Islam. Mereka menggunakan dana yang mereka ada untuk mengkristiankan umat Islam. Betapa giatnya aktiviti mereka dengan menjadikan pelajar-pelajar di ipt dan juga orang-orang asli di Malaysia sebagai sasaran utama. Gerakan missionari adalah satu gerakan yang bijak dalam mengatur strategi dan tahu kepada siapa yang perlu mereka sasarkan. Mereka tidak berdakwah kepada golongan agamawan ataupun yang arif tentang Islam, tetapi mereka mencari ‘mangsa’ mereka yang jahil tentang Islam. Apatah lagi mereka yang sukakan hiburan dunia. Satu kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat ramai lagi diluar sana yang beragama Islam masih tidak tahu cara bersolat walaupun sudah dewasa.

Oleh itu biarlah penggunaan Allah itu disyaratkan agar ianya digunakan sesama penganut Kristian sahaja ataupun hanya boleh diguna pakai di dalam gereja sahaja. Begitu juga dengan bahan cetak yang ingin diedarkan itu, perlulah mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ianya lebih selamat agar missionari ini tidak mengelirukan umat Islam yang jahil tentang Islam dengan menggunakan istilah Allah di dalam dakwah mereka.

Bagaimana sekiranya golongan missionari ini mengatakan sebegini di dalam dakwah mereka:

“Mana-mana agama pun sama saja kerana semua agama menyembah Allah. Semua agama menyeru kepada kebaikan.”

Tetapi sebagai muslim, kita beriman dengan firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) pada sisi Allah ialah agama islam” (Surah al-Imran, ayat: 19)

Bagi kita yang mengetahui hakikat ini, pasti tidak akan percaya dengan mainan kata mereka. Tetapi kita juga perlu memikirkan nasib orang-orang yang jahil tentang agama. Mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah missionari ini.

Jangan disalahkan para pendakwah Islam, tetapi sikap umat Islam sendiri yang tidak mahu cakna dan mengambil berat tentang perkara yang berkaitan aqidah. Bandingkan saja jumlah kehadiran kelas pengajian aqidah di masjid dengan konsert-konsert hiburan. Pasti kita akan mendapat jawapannya. Kita yang tidak mahu mengambil inisiatif dalam memantapkan aqidah. Maka apabila perkara-perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam disentuh, mulalah tuding menuding sesama sendiri.  

Saya juga menyeru kepada kerajaan Malaysia yang mengatakan Malaysia sebuah Negara Islam, sekiranya mereka ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan umat Islam, mereka juga perlu menggubal perlembagaan agar jawatan Perdana Menteri Malaysia haruslah seorang yang beragama Islam. Sekian.

 

An-Nuuri

2 comments:

  1. Ini kes serious kan? maklumlah agama ialah isu sensitiviti betul tak? i xnak komen pasal tu, i nk comment pasal anak muda mudi kita yang sudah jauh ketinggalan daripada ajaranNYA kan? gaya bergaya, branded atas bawah tapi otak kosong. EMPTY. Mungkin inilah janji Allah sebelum tibanya kiamat, manusia hilang pedoman dan jauh darpada penciptaNYA. Harap kita bukan termasuk dalam golongan yang sesat itu, AMIN. Salam! :)

    ReplyDelete
  2. Nak kata seriuos sgt pun xjgk..
    actually,semuanya berbalik kepada aqidah yg perlu ditekankan..kalo aqidah mantap, Bible dlm bhs mlayu pun xjd mslh..yup,remaja2 tula mslhnye skrg ni..mudah terpengaruh..ade yg dah berumo pun stil mcm remaja jgk..kite prlukan antibody yg kuat utk hlg diri kita dr dipengaruhi unsur2 yg xsht..

    ReplyDelete