Tuesday, January 19, 2010

Sekecil Akal Seluas Langit

Sekecil Akal Seluas Langit

 

“Kenapa singa yang lapar tu makan anaknya?” Tanya adik saya semasa kami menonton National Geography.

“Sebab singa itu tiada akal.” Jawab saya.

“Bukankah haiwan juga ada perasaan?” Beliau kehairanan.

“Benar, tetapi perasaan sahaja tidak cukup untuk membuat keputusan. Kita perlukan akal untuk berfikir dan menilai.” Saya cuba menghurai.






Sesungguhnya Allah s.w.t mencipta manusia sebagai khalifahNya di muka bumi ini. Disebabkan itu, Allah s.w.t telah menciptakan setiap dari kita sebuah akal. Itulah perbezaan kita dengan makhluk yang disebutkan haiwan. Jika Allah s.w.t memberikan akal buat si haiwan, pasti haiwan juga bisa menjadi khalifah di muka bumi ini. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t memuliakan manusia dengan diberikan akal. Walhal akal itu jisimnya kecil, namun peranannya besar!

Persoalannya, apakah akal kita mampu untuk mengukur setiap perkara dan permasalahan?

 Sejauh mana akal kita mampu berfikir?

 

ATHEIST VS MUKTAZILAH

Istilah Atheist berasal dari bahasa yunani kuno, iaitu atheos, yang bererti tidak bertuhan. Fahaman ini dikatakan muncul seawal abad ke-6 SM. Namun ada juga pendapat lain yang mengatakan ianya bermula pada abad  ke-18 Masihi. Golongan ini beranggapan bahawa semua yang ada di dunia ini tercipta secara semulajadi. Mereka tidak percaya pada kewujudan Tuhan kerana tidak adanya bukti secara hakiki akan Tuhan, bukti yang boleh dirasai oleh pancaindera manusia seperti bau, lihat dan dengar.

Mungkin kebanyakan kita biasa mendengar nama seperti Plato, Aristotale, Socrates, Charles Darwin yang memperkenalkan evolusinya dan ramai lagi. Merekalah antara tokoh-tokoh besar yang berpengaruh di dalam fahaman atheist ini. H. Havelock Ellis seorang atheist mengatakan : “Perlu diingat, manusia yang ‘menciptakan’ tuhan.”






Sementara Muktazilah pula merupakan salah satu aliran atau mazhab di dalam Islam. Mereka mempercayai kewujudan dan keesaan Allah, namun mereka lebih selesa menggunakan akal mereka di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah. Antaranya, mereka mendakwa bahawa al-Quran itu makhluk Allah s.w.t. Kemudian mereka menafikan qadar Allah s.w.t dengan beriktikad bahawa perbuatan manusia tiada kaitan dengan takdir Allah. Mereka juga mengatakan pelaku dosa besar tidak dipanggil kafir ataupun mukmin, tetapi kedudukan pelaku dosa besar ini berada diantara keduanya (manzilah baina manzilatain). Walaupun begitu, Ahli Sunnah menolak semua dakwaan fahaman muktazilah ini.

Namun, apakah persamaan bagi kedua aliran ini?

Jawapannya, KEBEBASAN AKAL.

 

Al-QURAN DAN AKAL

Perlu difahami, bahawa akal semata-mata tidak mampu menjamin untuk membawa manusia ke jalan kebaikan. Apa yang difikirkan baik oleh akal, belum tentu baik buat manusia sejagat. Begitu juga sebaliknya. Kerana ia mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti adat, budaya dan bangsa.  Sebagai contoh, sendawa selepas makan dianggap perkara biasa bagi masyarakat di Malaysia. Namun di mata masyarakat arab, ia merupakan suatu penghinaan buat mereka.

 Disebabkan itu, Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran sebagai panduan buat akal manusia. Setelah itu, diutuskan pula Nabi Muhammad s.a.w untuk menerangkan al-Quran buat manusia. Agar batas pemikiran manusia selari dengan apa yang telah temaktub di dalam al-Quran. Sekiranya akal manusia bertentangan dengan al-Quran, maka ianya tertolak.  Soalnya, mengapa akal mesti dipandu oleh al-Quran?

Kerana akal manusia ada batasnya.

 Manusia yang banyak berfikir dalam mencari sebarang jawapan, pasti akan mengalami sakit kepala. Bahkan boleh menjadi gila!

 

PENGALAMAN

Pernah ditanya kepada saya, mengapa solat subuh dua rakat tetapi zohor empat rakaat?

Mengapa kaabah bentuknya segi empat dan tidak segi lapan?

Kenapa Allah s.w.t mengutuskan beribu-ribu malaikat bagi membantu Nabi Muhammad s.a.w di dalam peperangan Badar? Sedangkan sebelah sayap satu malaikat sudah cukup untuk memukul semua orang kafir ketika itu?

Begitu juga kata Epicurus, seorang tokoh pemikir yunani: “Adakah Tuhan mampu melawan kejahatan, tetapi tidak mahu?atau Tuhan mahu melawan, tetapi tidak mampu?”

Persoalan-persoalan sebegini yang seringkali timbul bagi mereka yang gemar menggunakan akal dalam semua perkara.  

Sedangkan al-Quran dan hadis telah mendahului dalam memberikan jawapan bagi permasalahan seperti ini. Firman Allah s.w.t:

 

يا أيها الذين ءامنوا لا تسألوا عن أشياء إن تبد لكم تسؤكم

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.” (al-Maidah, ayat:101)

 

Hadis Nabi s.a.w:

رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى ا للهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوْهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِیْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ آَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ .

 

Rasulullah s.a.w bersabda: “Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” (Riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

 

Berkata Imam asy-Syatibi r.h di dalam kitabnya, al-Muwafaqat:

“Apabila kita menerima ibadah yang bersifat ta’abbudi  yang tidak diketahui  sebabnya (mengapa solat dua rakaat dan sebagainya), itulah tanda tunduk kita kepada Allah s.w.t kerana kita tidak lebih pandai dariNya.”

 

PERDEBATAN IMAM ABU HANIFAH VS ATHEIST

Atheis : Pada tahun berapakah Tuhanmu dilahirkan?

Abu Hanifah : Allah berfirman “Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan”.

Atheis : Masuk akalkah bila dikatakan bahawa Allah adalah yang pertama dan tidak ada sesuatu sebelum-Nya? , pada tahun berapa Dia ada?

Abu Hanifah : Dia (Allah) ada sebelum adanya sesuatu.

Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan!

Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang perhitungan?

Atheis : Ya.

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?

Atheis : Tidak ada angka.

Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan hairan kalau sebelum Allah Yang Maha Esa yang hakiki tidak ada yang mendahului-Nya?

Begitulah kisah mereka yang menggunakan akal dan orang yang berpaksikan al-Quran.

 

HAKIKAT INSAN

Secara fitrahnya, manusia sememangnya mempercayai kewujudan Allah s.w.t sebagai pencipta. Ia adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan dari manusia. Hatta orang asli yang tinggal di hutan sekalipun, walaupun terputus maklumatnya dari dunia semasa, mereka tetap akan memperakui kewujudan pencipta alam ini. Tidak kira bagaimana tafsiran dan nama tuhan yang mereka berikan. Inilah fitrah yang telah dibekalkan kepada manusia oleh Allah s.w.t tanpa perlu diajar. Sepertimana kita tidak mengajar seorang lelaki untuk suka kepada seorang perempuan, dan sebaliknya. Kerana ianya fitrah semulajadi manusia yang tidak perlu diberitahu. Begitulah halnya insan dalam mempercayai kewujudan Allah s.w.t.

Namun bagi mereka yang freethinker ini, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka cuba menipu diri sendiri dengan menafikan kewujudan Allah s.w.t. Pertama, mereka menggunakan logik akal bahawa tiada bukti yang kukuh tentang kewujudan Allah s.w.t. Keduanya, mereka berputus asa dan hilang kepercayaan kerana doa mereka belum dimakbulkan Allah s.w.t.

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلأَرْضِ وَٱخْتِلاَفِ ٱلَّيلِ وَٱلنَّهَارِ لآيَاتٍ لأُوْلِي ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,”(al-Imran, ayat: 190)

أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ*   وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ  * 

Maksudnya: “tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan?”(al-Ghaasyiyah, ayat: 18&19)

 

Nabi s.a.w bersabda : ”Berfikirlah tentang makhluk-makhluk (ciptaan) Allah dan jangan berfikir tentang Dzat Allah s.w.t.” (Riwayat at-Thabarani, Al-Baihaqi dari Ibnu Umar).






Siapakah yang mengatur siang dan malam saling silih berganti?Matahari dan bulan terbit tepat pada waktunya. Tidak pernah sekali terjadi peristiwa matahari tidak terbit atau malam tidak menjelma.

Bagaimana pula langit didirikan tanpa tiang dan tidak jatuh?

Siapa pula yang membekalkan oksigen buat manusia?

Adakah semua yang ada di alam ini wujud dengan sendirinya?

 

Saya juga pernah ditanya oleh seorang bukan muslim,”di mana Tuhan kamu?”

“Apakah anda percaya angin itu wujud?” soal saya kembali.

“Ya.” Jawabnya ringkas.

“Kenapa anda percaya angin itu wujud sedangkan anda tidak melihatnya?” Tanya saya lagi.

“Kerana saya berasa sejuk ketika angin itu ditiup.” Jelasnya.

“Begitu jugalah Allah s.w.t. Kita tidak dapat melihatnya, tetapi kita tahu akan kewujudannya.” Saya menjawab persoalan beliau.

 

Secara mudahnya, jika manusia ditimpa kesusahan atau kesempitan, pasti kita mengharapkan satu kuasa yang kuat untuk menyelamatkan diri sendiri. Disebabkan itu, saya mengatakan sebenarnya golongan freethinker ini cuba menipu diri mereka sendiri. Apabila mereka menolak kewujudan pencipta, maka secara tidak langsung mereka juga telah menolak agama. Itulah objektif dan matlamat mereka. Namun jauh disudut hati mereka masih terasa kesannya.

Tidak nampak bukan bermakna menidakkan.

Tidak tahu bukan bererti menafikan.

Gunakanlah akal agar ia mencetus mahu.

Agar manusia berfikir secara mampu.

 

 Semoga Allah s.w.t merahmati kita semua.

 

An-Nuuri




3 comments:

  1. biasanya golongan yang banyak tanya ni, konon2nya nak elak diri dr menerima tanggungjawab, tapi diorang alpa dan lupa itu lebih membuatkan diri mereka menanggung tanggungjawab yg lebih besar dr sepatutnya.

    afala yatadabbarun???

    ReplyDelete
  2. Biasanya singa jantan yg baru menang kawanan singa betina akan membunuh anak dari benih singa jantan yg terdahulu supaya dia boleh mengawan dengan singa betina secepat yg mungkin.

    ReplyDelete
  3. mendalam sungguh kata-kata Boy tu..=)

    akal mmg banyak serta besar fungsi dan peranannya..namun degan menggunakan akal utk tujuan sebegitu,bukanlah itu diciptakan akal buat manusia..

    ReplyDelete